Thursday, January 6, 2011

Berita Harian: Mekanisme klinik keluarga kurangkan kos perubatan... Oleh Syed Azwan Syed Ali

Mekanisme klinik keluarga kurangkan kos perubatan
Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my

Berita Harian, 2011/01/05

Kertas cadangan guna model dipraktikkan di UK dibentang Februari

KUALA LUMPUR: Kos penjagaan kesihatan di negara ini dijangka berkurangan apabila cadangan mewajibkan setiap individu melantik klinik pilihan mereka sebagai klinik keluarga di bawah Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care dilaksanakan kelak.

Melalui mekanisme yang mengguna pakai model Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom (UK), individu hanya boleh dirujuk ke hospital untuk rawatan pakar dengan sokongan doktor keluarga, kecuali bagi kes kecemasan.

Mekanisme itu apabila dilaksanakan kelak akan mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang signifikan, termasuk pembaziran ubat dan ujian makmal yang tidak diperlukan pesakit.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David KL Quek, berkata ketika ini, kebanyakan individu cenderung untuk terus mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta kerana tidak sanggup beratur panjang di hospital kerajaan.

“Ini mengakibatkan kos penjagaan kesihatan di negara ini menjadi mahal."

Dengan menjadikan doktor keluarga sebagai ‘gate-keeper’ di bawah skim dicadangkan, pesakit tidak perlu terus ke hospital untuk rawatan,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Quek mengulas laporan muka depan akhbar ini, Isnin lalu mengenai pelaksanaan Skim 1Care, antara lain bertujuan meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta mengikut pilihan tanpa mengambil kira status kewangan mereka.

Melalui skim yang menggabungkan perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta itu, sebuah dana kesihatan nasional yang dibiayai kerajaan (lebih 90 peratus), pekerja dan majikan (melalui potongan cukai, bayaran premium atau kaedah lain yang ditetapkan) akan ditubuhkan untuk membiayai kos penjagaan kesihatan rakyat.

Pelaksanaan skim itu antara lain bertujuan mengurangkan beban di hospital kerajaan dengan menyeragamkan kualiti perkhidmatan, kelengkapan, sumber manusia, caj rawatan dan perubatan antara hospital kerajaan dan swasta, sekali gus memberikan pilihan kepada rakyat mendapatkan rawatan di hospital pilihan mereka.

Difahamkan, kertas cadangan skim penjagaan kesihatan menggunakan model NHS UK sudah disediakan Kementerian Kesihatan dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selewat-lewatnya bulan depan.

Dr Quek berkata, ada beberapa isu perlu diperjelaskan kerajaan sebelum melaksanakan skim itu, antaranya pelaksanaan integrasi kedua-dua perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta serta aspek kewangan, terutama mengenai sumbangan individu kepada dana kesihatan nasional yang dicadangkan.

Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan mengenai bayaran bersama yang mungkin dikenakan kepada pesakit supaya semua pihak jelas mengenai komitmen mereka, sekiranya cadangan skim itu dilaksanakan.

Ketika ini, kira-kira 40 peratus daripada rakyat Malaysia mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai kos penjagaan kesihatan mereka di hospital atau pusat perubatan swasta.

Pada 2009, kemasukan pesakit ke 130 hospital kerajaan yang mempunyai 33,083 katil adalah 2.13 juta, iaitu 2.6 kali ganda lebih tinggi daripada 209 hospital dan pusat perubatan swasta yang mempunyai 12,216 katil serta menerima 828,399 pesakit.

No comments: