Monday, January 3, 2011

Berita Harian: DANA KESIHATAN RAKYAT... Oleh Syed Azwan Syed Ali

DANA KESIHATAN RAKYAT
Oleh Syed Azwan Syed Ali
Berita Harian, 03 Jan, 2011

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan pelaksanaan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care yang antara lain memberi pilihan kepada rakyat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau hospital swasta tanpa mengira kedudukan sosial dan kewangan mereka.
   
Skim yang akan membabitkan penggabungan sistem pengurusan kesihatan kerajaan dengan swasta itu dijangka mewajibkan rakyat memilih atau melantik pengamal perubatan di klinik pilihan sebagai doktor keluarga dan pesakit hanya dirujuk ke hospital dengan sokongan doktor keluarga masing-masing. 
   Menurut sumber, bagi melaksanakannya, sebuah dana khas kesihatan dicadangkan untuk membiayai kos penjagaan kesihatan rakyat dengan mereka yang berkemampuan menyumbang kepada dana itu melalui bayaran bulanan (premium insurans), potongan cukai atau kaedah lain yang akan ditetapkan.
 
Katanya, kira-kira 90 peratus daripada dana kesihatan itu dibiaya kerajaan, manakala selebihnya disumbangkan mereka yang berkemampuan membabitkan majikan dan pekerja dalam peratusan yang ditentukan kelak.
 
Difahamkan, kertas cadangan skim 1Care yang disediakan Kementerian Kesihatan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selewat-lewatnya bulan depan untuk pertimbangan kerajaan.
 
Najib sebelum ini dilaporkan berkata, sistem penjagaan kesihatan negara akan melalui proses perubahan untuk menjadikannya lebih efektif dengan  pelan induk sistem kesihatan 1Care for 1Malaysia sedang dikaji secara telus.
 
Sumber berkata, Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care sedang dipertimbang secara serius oleh kerajaan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan sedia ada, bertujuan menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan rakyat, selain mengurangkan beban hospital kerajaan yang menjadi tempat rujukan utama.
 
“Pelaksanaan skim itu juga meningkatkan capaian rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan pilihan mereka kerana caj rawatan dan perubatan di hospital kerajaan atau swasta diseragamkan melalui penggabungan sistem pengurusan kesihatan. Ini bermakna, caj rawatan dan perubatan tertakluk kepada jadual pembayaran yang akan ditetapkan. Namun, pesakit tidak boleh sewenang-wenangnya ke hospital tanpa disyor doktor keluarga,” katanya.
 
Skim itu dikatakan mirip Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom yang pembiayaan penjagaan kesihatan menerusi dana khas dikumpul sepenuhnya melalui potongan cukai.
Setiap individu di negara itu menyumbang dalam jumlah tertentu untuk menampung penjagaan kesihatan bagi semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan sosial. 

Mereka wajib memilih dan melantik klinik terdekat atau klinik pilihan sebagai panel doktor keluarga bagi memudahkan rekod kesihatan dipantau dan hanya diberi rawatan atau dirujuk ke hospital jika perlu. 
 Sumber itu berkata, melalui skim kesihatan itu, bayaran rawatan dan perubatan asas pesakit ditanggung dana kesihatan berkenaan dengan pesakit mungkin dikenakan ‘bayaran bersama’ yang minimum sebagai komitmen.
 
Ketika ini, sistem penjagaan kesihatan negara di bahagikan kepada dua iaitu sektor kerajaan yang ditanggung sepenuhnya kerajaan dengan pesakit membayar RM1 yuran pendaftaran untuk mendapatkan rawatan dan sektor swasta bagi mereka yang berkemampuan.
 
 Ia menyebabkan beban ditanggung hospital kerajaan berlipat  ganda berbanding  swasta, selain kos penjagaan kesihatan negara terus meningkat daripada RM1 bilion kepada 1983 kepada RM6.3 bilion pada 2003 dan  meningkat pada tahun lalu.

No comments: