Monday, January 10, 2011

Berita Harian: Semua klinik digabung... Oleh Syed Azwan Syed Ali

Semua klinik digabung
Oleh Syed Azwan Syed Ali

BERITA HARIAN, 2011/01/10

KERATAN  muka depan akhbar Berita Harian yang disiarkan 3 Januari lalu.
KERATAN muka depan akhbar Berita Harian yang disiarkan 3 Januari lalu.
 
Pusat kesihatan swasta, kerajaan bersatu di bawah 1Care tingkat akses rakyat

KUALA LUMPUR: Semua klinik kerajaan dan swasta akan digabungkan di bawah Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif, selaras dengan pelan induk penstrukturan semula sistem kesihatan negara yang dijangka siap sepenuhnya pada 2013.

Melalui skim yang mengguna pakai model Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom itu, kira-kira 800 klinik kerajaan dan lebih 7,000 klinik swasta di seluruh negara akan berfungsi sebagai doktor keluarga rakyat dan membuat saringan untuk menentukan sama ada pesakit boleh dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Apabila dilaksanakan kelak, setiap individu diwajibkan memilih atau melantik pengamal perubatan sama ada di klinik kerajaan atau swasta berkenaan sebagai doktor keluarga dan mendapatkan rawatan bagi sakit biasa sebelum boleh dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Cadangan skim 1Care dan penstrukturan semula sistem kesihatan negara itu dilaksanakan berikutan kenaikan kos penjagaan kesihatan yang meningkat setiap tahun dan mencecah RM14 bilion tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan butiran skim itu semalam, berkata ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam enam fasa dengan penggabungan semua klinik kerajaan dan swasta dalam fasa ketiga, selepas fasa menaik taraf kepakaran dan kelengkapan di klinik serta hospital kerajaan dan fasa integrasi sistem ICT klinik kerajaan dan swasta disiapkan.

Katanya, cadangan pen-strukturan semula perkhidmatan penjagaan kesihatan dibentang kepada Majlis Ekonomi tahun lalu dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu Kementerian Kesihatan menyiapkan pelan induk dalam tempoh dua tahun.

“Pembaharuan itu mengambil ambil masa yang panjang untuk dicapai, tak boleh buat tergesa-gesa. (Kementerian Kesihatan) ambil masa dua tahun untuk sediakan pelan induk yang akan ambil kira pandangan semua pihak berkaitan,” katanya selepas merasmikan Galeri De HomeBiz, di Great Eastern Mall, di sini semalam.

Kenyataan Liow mengesahkan laporan muka depan akhbar ini pada 3 Januari lalu mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan skim 1Care bagi menambah baik sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada dengan menggunakan model NHS di UK.

Antara objektif utama skim itu ialah memberi pilihan kepada rakyat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau hospital swasta tanpa mengira kedudukan sosial dan kewangan mereka, selain mengurangkan beban hospital kerajaan yang menerima pesakit berlipat kali ganda berbanding hospital swasta

Melalui cadangan itu, kos penjagaan kesihatan rakyat akan ditanggung dana kesihatan nasional yang dibiayai melalui peruntukan kerajaan (lebih 90 peratus) dengan selebihnya disumbangkan individu berkemampuan sama ada melalui potongan cukai, bayaran premium insurans atau kaedah lain yang sedang dikaji.

Dana nasional itu akan diuruskan sebuah badan khas yang akan ditubuhkan dengan kos rawatan dan perubatan asas pesakit ditanggung oleh dana itu, tetapi pesakit mungkin dikenakan bayaran bersama sebagai komitmen, bergantung kepada jenis pesakit.

Sebelum ini, beberapa pihak antaranya, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu kerajaan menjelaskan secara terperinci cadangan skim itu, terutama membabitkan aspek kewangan dan pengurusan dana kesihatan nasional.

Liow berkata, kertas cadangan skim itu akan dibentangkan kepadanya bulan depan untuk diperhalusi sebelum dibawa kepada perhatian Kabinet.

Katanya, kementerian mengambil masa menyediakan pelan induk itu kerana ada pelbagai perkara yang perlu diperhalusi, walaupun kerajaan secara prinsip mengakui mengenai keperluan menambah baik sistem kesihatan negara berikutan pertambahan jumlah penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.

Katanya, peningkatan penghidap NCD semakin serius dengan RM1.3 bilion diperuntukkan tahun lalu untuk membeli ubat, selain kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai NCD bulan lalu untuk mengkaji serta mengambil tindakan perlu bagi mengatasi masalah itu.

No comments: