Friday, December 3, 2010

'Jangan lagak pakar'... Harian Metro, 3 Dec 2010

'Jangan lagak pakar'

Harian Metro, 3 Dec 2010

SHAH ALAM: “Kita sebagai pembantu perubatan jangan berlagak sebagai doktor. Kita tahu sedikit saja. Jika apa-apa berlaku, ia boleh bahayakan pesakit,” kata Presiden Kesatuan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia, Taram Singh Walia, ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan yang disiarkan Harian Metro semalam berhubung tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai pakar perubatan sejak tiga tahun lalu dan pernah bekerja di beberapa klinik di sekitar Lembah Klang.

Sambil melahirkan kekesalan berhubung kejadian itu, Taram, berkata sepatutnya klinik swasta perlu meneliti setiap pegawai perubatan yang mahu diambil bekerja dengan menunjukkan Sijil Amalan Tahunan (APC).
“APC ini bertindak sebagai lesen bagi pengamal perubatan, tetapi saya berpendapat dalam hal ini, klinik terbabit tidak ambil tahu dan hanya mahu keuntungan saja.

“Semakan kami dengan Lembaga Pembantu Perubatan, KKM mendapati lelaki itu memang mendaftar dengannya, tetapi sebagai pembantu perubatan saja. “Tindakannya itu bukan saja mencemarkan nama baik profesion perubatan, malah boleh membahayakan nyawa orang ramai,” katanya.

Lelaki berkenaan, seorang bekas tentera yang pernah menerima latihan diploma pembantu perubatan menyamar sebagai doktor pakar selama tiga tahun malah pernah merawati pesakit dan menyambut sembilan kelahiran bayi.


Tembelang lelaki berusia 41 tahun itu pecah apabila seorang remaja yang juga pekerja klinik sama, 18, membuat laporan polis pada 11 November lalu, mengadu dicabul doktor palsu berkenaan, sebelum suspek ditahan polis, 22 November.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David K L Quek mengakui terdapat beberapa kes doktor palsu dilaporkan masyarakat, namun kebanyakan mereka dapat menyembunyikan diri sebaik saja mengetahui mangsa membuat laporan polis.

“Tindakan tegas harus dikenakan terhadap pesalah itu kerana rawatan daripada doktor palsu boleh membahayakan nyawa pesakit malah mengakibatkan komplikasi serius hingga membawa kematian.

“Kes (doktor palsu) ini terjadi mungkin disebabkan pemalsuan dokumen dan kesukaran mengenalpasti kesahihannya berikutan teknologi percetakan semakin maju. Selain itu, pemeriksaan mengenai institusi pendidikan perubatan juga perlu dilakukan.

“Manakala, bagi doktor yang sengaja menggajikan doktor palsu boleh dikenakan tindakan oleh Majlis Perubatan atas kesalahan profesionalisme kecuali mereka dapat membuktikan sudah mengambil semua langkah berhati-hati,” katanya.

Kebimbangan turut disuarakan Ketua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Prof Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim yang mahu wanita mendapatkan rawatan kesihatan apalagi melahirkan anak di pusat rawatan dipercayai dan diiktiraf bagi mengelakkan menjadi mangsa.

Katanya, doktor palsu berkenaan dikategorikan sebagai penjenayah apabila melakukan pemeriksaan ke atas pesakit wanita tanpa mematuhi etika profesionalisme kedoktoran.

Sementara itu, Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Faridah Maludin berkata kes berkenaan membabitkan nilai integriti profesional.

Katanya, wanita yang menjadi mangsa seharusnya tampil ke depan bagi menyelesaikan masalah dialami disebabkan doktor palsu bukan hanya mendiamkan diri kerana negara ini mempunyai akta melindungi hak wanita.

No comments: