Friday, January 29, 2010

mStar: MMA Bantah Syor Lanjut Tempoh Khidmat Doktor Kerajaan



PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak cadangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan sehingga lima ke 10 tahun.
 
Menurut Presiden MMA, Dr. David Quek Kwang Leng, cadangan itu dilihat sangat tidak adil tanpa mengambil kira masalah yang mungkin akan dihadapi oleh para doktor kelak.

"Kami tidak tahu bagaimana idea seperti ini boleh dicadangkan. Sedangkan setiap kali mesyuarat yang diadakan antara Kementerian Kesihatan dan MMA, mereka tidak langsung berbincang tentang perkara ini.

"Bagi saya, pihak-pihak tertentu janganlah membuat cadangan dengan mudah. Ia memang sangat tidak adil. Ramai doktor sudah menghubungi kami melahirkan perasaan tidak puas hati mereka dengan cadangan tersebut.

"Rata-rata doktor juga perlu melunaskan pinjaman wang yang banyak sewaktu mereka gunakan ketika belajar dan sebab itu ada yang ingin berkhidmat di swasta. Ini bukan soal tamak, tetapi perkara seperti ini perlu diteliti dengan lebih mendalam terlebih dahulu," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah mencadangkan tempoh lanjutan itu sebagai satu cara untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital-hospital kerajaan setiap tahun.

Ketika ini, tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan adalah selama tiga tahun.
Murugiah juga berkata, negara menghadapi masalah kekurangan doktor seramai 5,000 orang pada tahun lalu.

Mengulas lanjut tentang cadangan itu, kata David, beliau yakin Kementerian Kesihatan mampu memikirkan mekanisme lain yang lebih relevan bagi mengatasi masalah tersebut.

"MMA akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian untuk mencari penyelesaian perkara ini. Persatuan juga ada program tersendiri dan kami yakin, kita akan mempunyai doktor yang mencukupi pada masa akan datang.

"Jika cadangan tempoh lanjutan itu dilakukan juga, saya risau ramai pelajar jurusan kedoktoran di luar negara enggan pulang berkhidmat di Malaysia. MMA sendiri akan menentang berhabis-habisan jika ia dilakukan juga," katanya.

No comments: